persatuan agama islam

sm sains kubang pasu bt 19 jalan kodiang 06000 jitra kedah

ESQ Haram



KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan mengharamkan modul program motivasi anjuran ESQ Leadership Center Sdn Bhd (ESQ)

yang sudah disertai lebih 65,000 orang termasuk orang kenamaan, tokoh agama dan korporat serta pegawai kerajaan kerana ajarannya didapati menyeleweng daripada akidah dan syariat Islam.
Muftinya, Datuk Wan Zahidi Wan Teh, menandatangani warta yang mengharamkan modul program motivasi itu pada 10 Jun lalu mengikut subseksyen 34 (1) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1953, selepas berbincang dengan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak.

Mengikut warta yang dikeluarkan laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pada 17 Jun lalu, program ESQ yang diasaskan warga Indonesia, Ary Ginanjar Agustin, diharamkan kerana mendukung fahaman liberalisme, iaitu memahami atau mentafsir nas agama (al-Quran dan sunnah) dan fahaman pluralisme yang mengajar semua agama adalah sama. Mengikut warta itu, kedua-dua fahaman itu adalah sesat dan membawa kepada kekufuran.

Ciri penyelewengan lain adalah;
•Mendakwa semua nabi mencapai kebenaran melalui pengalaman dan pencarian;
•Menyamakan bacaan al-Fatihah sebanyak 17 kali sehari oleh orang Islam dengan amalan Bushido oleh orang Jepun yang berteraskan ajaran Bud-dha;
•Mencampuradukkan ajaran kerohanian bukan Islam dan Islam;
•Menekankan konsep suara hati sebagai sumber rujukan utama dalam menentukan baik atau buruk sesuatu perbuatan;
•Mentafsirkan makna kalimah syahadah dengan triple one. Ini adalah tafsiran bidaah dan sesat; dan
•Mengingkari mukjizat dan menganggapnya tidak dapat diterima akal dan tidak sesuai dengan zaman sekarang yang serba logik.

Menurut warta itu, dakwaan semua nabi mencapai kebenaran melalui pengalaman dan pencarian bercanggah dengan akidah Islam mengenai nabi dan rasul. Mengikut akidah ahli Sunnah Wal Jamaah, kenabian dan kerasulan adalah pilihan Allah SWT semata-mata dan bukan sesuatu yang boleh diusahakan, manakala konsep suara hati adalah ajaran paling suci dalam agama Kristian.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir ketika diminta mengulas perkara itu berkata, kerajaan melalui agensinya kini memantau program berkenaan sebelum membuat sebarang keputusan.

Sehingga kini hanya Wilayah Persekutuan mengeluarkan fatwa itu dan negeri lain belum membuat sebarang tindakan. Bagaimanapun, pihak yang bertanggungjawab seperti mufti dan Jakim akan membuat siasatan terhadap syarikat ini, katanya ketika ditemui selepas meninjau tapak projek surau Kampung Limau, Pantai Dalam dan tapak cadangan Masjid Tun Rahah, Kerinci, semalam.

disunting daripada sumber: Berita Harian

0 comments:

Post a Comment