persatuan agama islam

sm sains kubang pasu bt 19 jalan kodiang 06000 jitra kedah

Bila Izrail Datang Memanggil

Salam,

Buat julung kalinya satu program pengurusan jenazah telah dilaksanakan dengan jayanya pada hari ini Sabtu 24 April bersamaan 9 Jamadilawwal 1431 Hijriah. Alhamdulillah, perjalanan program sangat lancar sebagaimana yang dirancang, di mana ianya dilaksanakan dalam dua sesi. Sesi pagi merangkumi  teori, taklimat  ceramah ringkas dan sesi soal jawab berhubung kait dengan pengurusan jenazah seperti menghadapi si sakit yang hampir meninggal, urusan mandian, kafan, solat dan akhirnya pengkebumian. 

Alhamdulillah sesi ini mendapat sambutan yang hangat dari kalangan pelajar-pelajar khususnya dalam sesi soal jawab. Banyak soalan yang agak kontemporari ditanya dan dijawab oleh Ust Mohd Yusfadzillah dan Ustazah Fadhilah Sharipah.

Bila sesi kedua bermula makan ianya menjadi klimak kepada program ini di mana para pelajar dipertontonkan dengan praktikal-praktkal mandian, kafan dan solat jenazah dengan batuan Jawatankuasa BADAR.

Tahniah dan syabas serta terima kasih atas perhatian semua pelajar, dan guru-guru semoga kita sama-sama mendapat input yang berguna untuk masa hadapan. sekurang-kurangnya timbul keinsafan dalam diri kita bila dan bagaimanakah  agaknya nanti giliran kita?

Wassalam..


Tahniah Amin & Afzan

Salam.

Sekalung tahniah di ucapkan kepada peserta hafazan dan syarahan sekolah yang mewakili PKG Kodiang di Karnival Pendidikan Islam Sekolah-Sekolah KPM Peringkat Daerah Kubang Pasu Tahun 2010 pada Sabtu 10 April lepas, kerana berjaya meraih kedudukan yang sememangnya boleh dibanggakan :

  1. Aminuddin b. Che Omar - Naib Johan Hafazan Lelaki Menengah.
  2. Afzan Izzani bt. Azhar - Ketiga Syarahan Perempuan Menengah.
  Cuba lagi tahun hadapan. Insyaallah (dengan tema : al-Quran Penjana Wehdatul Ummah) dan berkat usaha dan kecekalan, kejayaan pasti akan dituai.

Wassalam.

Kes Kartika Sari

Salam.

Keputusan "pengubahan penghakiman" ke atas kes kesalahan meminum arak Kartika Sari (sepertimana yang telah diputuskan Hakim Syar'ie) dari hukuman sebat sebanyak 6 kali kepada kerja khidmat masyarakat (komuniti) selama sebulan oleh Sultan Pahang mengundang banyak polemik khususnya kepada umat Islam, peguam dan pengamal undang-undang Islam atau syar'ie.

Penangguhan selama lebih 7 bulan itu menyebabkan ramai yang tertanya-tanya :
  1. Apakah Sultan mempunyai kuasa mutlak meminda, mengurang, mengubah atau menggantikan sebarang hukuman yang telah diputuskan oleh Mahkamah Syariah hatta hukuman hudud sekalipun?
  2. Jika benar kuasanya melangkaui yang sedemikian itu, apakah peranan yang patut dimainkan oleh mufti dan Mahkamah Syariah itu sendiri?
  3. Berkemungkinankah pada masa-masa hadapan hukuman sebegini (kesalahan minum arak : sebat) akan di gantikan dengan hukuman khidmat masyarakat?
Hanya mereka yang 'practitioner' sahaja yang layak mengulas isu ini.


Berikut disiarkan kenyataan akhbar Presiden Persatuan Peguam Syar`ie Malaysia : Tuan Mohamad Isa bin Ralip


Jumaat, 02 April 2010
bersamaan 17 Rabiulakhir 1431H

KENYATAAN AKHBAR

PRESIDEN
PERSATUAN PEGUAM SYARIE MALAYSIA (PGSM)
TUAN MOHAMAD ISA ABD RALIP

ISU UBAH HUKUMAN SEBATAN SYARIE TERHADAP KARTIKA SARI OLEH SULTAN PAHANG, SULTAN AHMAD SHAH

PGSM dengan ini mengeluarkan kenyataan tentang pendirian PGSM sebagaimana berikut :-

1. Tidak menyokong sepenuhnya tindakan perlaksanaan hukuman khidmat masyarakat ke atas Kartika bagi menggantikan perlaksanaan hukuman sebat. Ini adalah kerana sebagai peguam syarie yang beramal di Mahkamah Syariah kami menyatakan bahawa sebagai Ketua Agama Negeri, Baginda Sultan mempunyai kuasa ekslusif untuk mengurangkan atau meringankan, menambah atau mengubah apa-apa hukuman yang telah dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah. Kuasa ekslusif ini terbahagi kepada 2 keadaan berikut iaitu pertama apabila pesalah itu membuat permohonan rayuan kepada Baginda Sultan dan kedua apabila Baginda Sultan sendiri berkenan memberi pengampunan walaupun tidak dirayu atau dipohon oleh pesalah.

2. Keadaan pertama : Mengikut enakmen pentadbiran Agama Islam Pahang di bawah seksyen 209, sultan boleh mengurang, menambah atau mengubah hukuman dengan syarat tertuduh kena melalui rayuan terlebih dahulu hingga selesai kes mahkamah rayuan. Dalam kes Kartika ini, dia tidak membuat sebarang rayuan. Keadaan Kedua : Seksyen 133 tatacara jenayah Pahang pula mengatakan sultan atas nasihat mufti berkuasa meringankan hukuman dengan ganti kepada hukuman yang lebih ringan walaupun tak dirayu atau dimohon oleh pesalah dengan menggantikan drpd sebat kepada penjara atau penjara kepada denda. Itu sahaja kuasa sultan dari sudut perundangan, tiada disebutkan ganti kepada khidmat masyarakat. Tambahan ikut jumhur ulama’ kesalahan minum arak adalah termasuk dlm hukuman hudud dan hukumnya adalah disebat sekurang-kurangnya 40 rotan.

3. PGSM berpandangan bahawa hukuman sebatan adalah kesalahan yang berbentuk kesalahan hudud.

4. Penggantian hukuman sebat kepada hukuman khidmat masyarakat menggambarkan seolah-olah Sultan mengatasi undang-undang syariah walaupun sultan mempunyai kuasa esksekutif.

5. PGSM menimbulkan persoalan samada nasihat mufti telah diperolehi terlebih dahulu selari dengan peruntukan Seksyen 133 tatacara jenayah Pahang yang mengatakan sultan atas nasihat mufti berkuasa meringankan hukuman dengan ganti kepada hukuman yang lebih ringan walaupun tak dirayu atau dimohon oleh pesalah dengan menggantikan drpd sebat kepada penjara atau penjara kepada denda.

6. Pengumuman tersebut mengejutkan pengamal undang-undang syarie dan ianya memberi kesan kepada pandangan orang ramai terhadap Mahkamah Syariah sebagai institusi keadilan Islam memandangkan kepada hukuman yang telah dijatuhkan dan perintah yang telah dikeluarkan oleh Hakim sebelum daripada ini serta pendirian Kartika Sari sendiri yang sudah bersedia untuk menjalani hukuman tersebut sebelum ini.

Sekian, untuk siaran.
(MOHAMAD ISA ABD RALIP)
Presiden PGSM

  • Berkaitan : 

Wassalam.

Marhaban bi kum

Salam.


Posting pertama dari Persatuan Agama Islam SM Sains Kubang Pasu. Insyaallah blog ini akan memberi ruang kepada ahli-ahli persatuan di bawah seliaan Panitia Agama Islam mendapatkan maklumat lengkap tentang aktiviti-aktiviti lepas, semasa dan akan datang mengenai Persatuan Agama Islam SM Sains Kubang Pasu.


Tidak ketinggalan juga maklumat-maklumat semasa tentang pendidikan khususnya melibatkan aktiviti keagamaan di sekolah, daerah Kubang Pasu, negeri Kedah dan seluruh negara amnya. Begitu juga laporan setiap aktiviti yang dijalankan oleh Persatuan . Insyaallah.


Semoga ianya dapat memberi manafaat kepada semua ahli persatuan dan seluruh warga SM Sains Kubang Pasu. Ilaa liqaa'


Wassalam