persatuan agama islam

sm sains kubang pasu bt 19 jalan kodiang 06000 jitra kedah

ESQ tidak bertentangan akidah, syariat

IPOH 9 Julai - Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menegaskan, modul program motivasi anjuran ESQ Leadership Centre Sdn. Bhd. tidak bertentangan dengan akidah dan syariat Islam.

Malah, menurut beliau, program tersebut juga tiada kena mengena dengan fahaman liberalisme atau pluralisme seperti didakwa.

"Dalam Persidangan Muzakarah Fatwa Kebangsaan melibatkan mufti-mufti seluruh negara yang bersidang tiga kali sebelum ini, telah membincangkan secara terperinci tentang isu ESQ ini.

"Kita telah memanggil pengasas program, Dr. Ary Ginajar Agustin, seorang warga Indonesia dan berdialog menjelaskan beberapa perkara yang kurang jelas dan mendapati berlaku perbezaan bahasa dalam buku yang ditulis," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, mesyuarat terakhir pada 16 Jun itu kemudian memutuskan bahawa ESQ tidak bertentangan dengan syariah dan tidak membawa unsur-unsur kesesatan kepada umat Islam.

Mengulas tindakan Wilayah Persekutuan mewartakan fatwa bahawa ESQ mengandungi ajaran yang menyeleweng daripada ajaran Islam, Harussani berkata, terpulang kepada pihak berkenaan untuk membuat keputusannya.

"Tetapi kita telah berpuas hati dengan penjelasan bahawa program ini baik untuk diteruskan kerana tidak bertentangan malah tiada kaitan dengan fahaman liberalisme dan pluralisme," katanya. Jelas beliau, persidangan muzakarah yang diadakan tersebut juga telah melantik beberapa bekas bekas mufti sebagai panel syariah.

"Jadi mesyuarat terakhir yang diadakan itu memutuskan bahawa ESQ tidak bertentangan dengan akidah, syariah dan tidak ada unsur-unsur yang membawa kesesatan," katanya.

Beliau berkata, beberapa mufti juga telah diminta ke Indonesia untuk bertemu dengan ulama negara berkenaan bagi mendapatkan pandangan sebelum mengambil keputusan muktamad itu.

"Mereka (ulama Indonesia) mengatakan usaha ini baik dan wajar diteruskan malah turut mendapat perakuan Majlis Ulama Indonesia daripada Nahdatul Ulama dan Muhammadiyah," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak mempunyai halangan untuk meneruskan program tersebut di negeri ini selagi ia tidak bertentangan dengan akidah dan syariat.

"Kita akan sentiasa merujuk kepada mufti (Harussani) dalam urusan berkaitan dengan kepentingan Islam kerana beliau lebih mengetahui hal-hal berkaitan agama," katanya. 

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menjelaskan, fatwa mengenai penyelewengan ajaran dan fahaman yang dibawa oleh syarikat itu hanya terhad di Wilayah Persekutuan.

- Utusan

0 comments:

Post a Comment